Wednesday, 30 November 2016

Biodata Cikgu Umi

Assalamualaikum,

Nama diberi Umi Azura binti Md Zain. Umur 32 tahun. Sekarang bekerja sebagai seorang pendidik subjek Kimia di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Selangor. 
Mempunyai pengalaman mengajar subjek Kimia program Matrikulasi selama lebih kurang tiga setengah tahun di Kolej Mara Kuala Nerang, Kedah. Seterusnya mengajar subjek Kimia A-Level (Edexcel) selama tiga setengah tahun juga di INTEC, UiTM, Shah Alam. 
Bermula Mac 2013 sehingga kini, mengajar subjek Kimia A-Level (CIE) di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin.
Juga mempunyai pengalaman sebagai pemeriksa kertas peperiksaan Matrikulasi selama 5 tahun dan lebih, dan sekarang merupakan pemeriksa kertas A-Level CIE yang diiktiraf oleh Cambridge International Examinations.
Mengajar serta mendidik sentiasa menjadi minat dari kecil sehingga sekarang. Dapat melihat anak-anak didik berjaya dan menjadi orang yang berguna menjadi suatu kepuasan bagi seorang pendidik.


Falsafah Pendidikan Guru

Berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Guru yang dinyatakan di bawah akan menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada matlamat dan pendidikan guru: 

“Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi Negara serta menyanjung warisan kebudayaan Negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,demokratik, progresif dan berdisiplin”.


Bagi diri saya pula, falsafah pendidikan saya sebagai seorang guru adalah untuk melahirkan satu generasi yang berakhlak mulia, yang berilmu dan tahu mengaplikasikan ilmu yang dimilikinya dan juga sentiasa menghormati sesama insan. Sedih melihat sikap sesetengah pelajar yang hilang rasa hormat terhadap si pemberi ilmu dan tidak sedikit pun merasakan perbuatan yang dilakukan adalah salah. Saya sentiasa merasa bertanggungjawab bila melihat sikap santun yang patut dimiliki setiap pelajar makin berkurangan. 

Kerjaya seorang guru bukanlah sesuatu kerjaya yang mudah kerana kerjaya ini melibatkan masa depan anak bangsa. Jadi saya akan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa agar dapat menjadi seorang guru bitara dan seorang guru yang bertanggungjawab serta sentiasa menjadikan Falsafah Pendidikan Guru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Sains Kebangsaan sebagai panduan ke arah menjadi guru yang cemerlang kepada pelajar-pelajar yang bakal menjadi harapan negara.

Tuesday, 29 November 2016

Pelan Pembangunan Kerjaya

Assalamualaikum semua,

Post ni membincangkan tentang pelan pembangunan kerjaya seorang guru macam saya. Menurut Rosnah Abdullah (http://eprints.utm.my/33393/3/RosnahAbdullahMFP2012CHAP1.pdf), "perkembangan professional guru merupakan proses kerjaya yang panjang dan berterusan. Proses pemilihan ke institusi perguruan merupakan proses pertama yang harus dilalui oleh seseorang itu. Berbekalkan pendidikan umum biasanya dengan kandungan asas yang diperlukan untuk pengkhususan kursus iaitu selepas terpilih untuk memasuki Institusi perguruan.Ianya bermula sejak seseorang mula menjadi guru pelatih sehingga bersara. Setelah tamat pengajian di Institusi pendidikan, pentauliahan dilakukan sebagai tanda kemahiran telah dimiliki. Ini memberi keyakinan kepada guruguru untuk menjejakkan kaki ke alam pengajaran dan pembelajaran."

Saya merupakan seorang guru yang tidak mempunyai asas dalam bidang perguruan kerana saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kepujian Kimia. Saya sekarang sedang melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pendidikan Kimia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kontek kerjaya saya, seorang guru di kolej swasta, kolej saya tidak memerlukan guru-guru yang WAJIB mempunyai sijil perguruan untuk mengajar di kolej ini. Tetapi demi pembangunan kerjaya saya sendiri, saya merasakan sijil perguruan amat penting untuk saya terus kekal dalam bidang yang saya akan sentiasa ceburi ini.

Saya sentiasa berusaha untuk meletakkan diri saya lebih hadapan daripada keperluan minimum menjadi pengajar untuk jangkamasa panjang saya dalam mendokong kerjaya sebagai seorang guru dan pendidik. Dengan penuh doa dan harapan, saya berharap agar kerjaya saya lebih maju dan berjaya!


Soal selidik "Kepentingan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Kimia"

Saya sedang menjalankan survey tentang "Kepentingan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Kimia".

Mohon jasa baik anda untuk meluangkan sedikit masa mengisi borang survey ini.

Sila klik link di bawah:

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSf7HucRL0CbJmpolhmwYMcPFH6Z6LOR3xd8nBd8DZ92_FHbQA/viewform?c=0&w=1

Terima Kasih.



Monday, 28 November 2016